Peribahasa Yang Buruk

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sempena Hari Kemerdekaan yang ke 53 untuk negara tercinta Malaysia,
Di sini saya ingin berkongsi beberapa peribahasa yang bermaksud buruk dan merendahkan motivasi seseorang. Peribahasa ataupun kata ungkapan sebenarnya dicipta oleh leluhur kita yang juga merupakan manusia yang biasa di sisi Allah. Kadang kala kita terlalu melebih-lebihkan dan mengagungkan setiap peribahasa dan ungkapan tersebut tanpa memikirkan maksud yang benar-benar tersirat di dalamnya. Semoga kita boleh membebaskan diri daripada dijajah oleh peribahasa yang buruk dan merosakkan ini.

Beras Secupak Tidak Akan Jadi Segantang

Ini adalah peribahasa atau ungkapan yang paling teruk sebenarnya. Ia mengajar bahawa kehidupan kita seolah-olah sudah ditentukan sejak kita masih belum lahir lagi. Seolah-olah kita terpaksa menerima keadaan tanpa perlu berusaha dan hanya perlu duduk diam sahaja.

Peribahasa dan Ungkapan ini juga mengajar supaya kita menjadi manusia yang tidak bersabar dan bersyukur dengan takdir-Nya.

Memang benar beras secupak tidak akan menjadi segantang dalam masa satu saat. Tetapi bayangkanlah satu butir beras atau padi yang disemai akan menjadi pokok padi yang mempunyai puluhan biji padi jika kita bersabar dan berusaha.

Secupak beras/ padi kita boleh jadikan sepadang sawah padi jika kita berusaha dan tidak putus asa dengan keadaan dan dapat bersabar dengan faktor masa.

Biar Mati Anak Jangan Mati Adat

Peribahasa atau ungkapan ini sebenarnya sudah pupus ditelan zaman. Jika masih ada lagi insan yang mengambil berat tentang peribahasa ini, sebenarnya insan tersebut tidak mengikut suasana zaman yang sudah berubah dan lebih mencabar.

Kebanyakan adat sebenarnya menjadikan kita berfikiran sempit dan kolot dengan hanya mengikut setiap adat itu tanpa memikirkan kesan dan faktor untuk melakukannya. Mengikut ketentuan adat juga menjadikan kita menolak hukum Allah iaitu menolak kepercayaan kita terhadap pegangan Agama.

Ada adat yang sememangnya berlawanan dengan hukum alam atau lebih tetap lagi berlawanan dengan perintah agama sehingga boleh mengundang faktor syirik. Berhati-hatilah bila mengamalkan adat yang sedemikian.

Buat Baik Berpada-pada, buat jahat jangan sekali
Adakah peribahasa ini membawa maksud, buat baik perlu dilakukan pada kadar yang sedikit dan perkara jahat perlu dilakukan lebih daripada sekali?

Ataupun terdapat kesalahan bahasa di sini,
cuba tambah suku kata se pada perkataan sekali menjadi sesekali.

Jadi, peribahasa ini sudah bertukar maksud. Perkara baik dilakukan lebih banyak berbanding perkara jahat.

Sekali bermaksud jumlah

manakala Sesekali bermaksud perbuatan.

Batu Yang Bergolek Tidak Akan Diliputi Lumut
Peribahasa ini membawa maksud, sering bertukar pekerjaan akan membuatkan kita tidak mencapai kejayaan dan kekayaan.

Benarkah maksud peribahasa ini? Pekerjaan bermaksud rezeki. Adakah ada insan di dunia ini yang tidak mengambil berat kepada punca rezeki ataupun perkerjaan. Ataupun pada maksud yang lain, melakukan pekerjaan secara main-main dan tidak serius. Semua pekerja melakukan perkerjaan yang diingini kerana ini adalah punca rezeki mereka.

Bertukar tempat kerja boleh jadi kerana sebab berikut:

1) Menimba pengalaman yang berterusan yang lebih baru dan lebih baik. Bolehkah tempat kerja yang sama memberi pengalaman yang berbeza? sekiranya kita berkerja di department yang sama selama bertahun-tahun dengan bidang kerja yang sama, serupalah kita tidak mempunyai pengalaman, kerana hanya menguasai satu bidang sahaja. Boleh jadi juga kita berada di department yang sama, tetapi terdapat perubahan dari cara kerja, mesin yang baru serta cabaran yang baru. Maka faktor bertukar tempat kerja tidak perlu dihuraikan kerana masih lagi ada pengalaman baru walaupun di tempat kerja yang sama.

2) Faktor gaji yang meningkat.
Siapa kata bertukar tempat kerja kita tidak mampu mencapai kejayaan. Dengan adanya pengalaman di tempat kerja yang lama membolehkan kita meletak paras gaji baru yang lebih tinggi di tempat kerja yang baru. Ini kerana kita mempunyai pengalaman berbanding mereka yang mungkin lebih kurang pengalaman.

3) Bebanan Kerja atau tekanan di tempat kerja
Ada yang sanggup bertukar kerja kerana ketidakselesaan di tempat kerja lama. Biarpun bergaji lebih rendah, lebih baik daripada menanggung tekanan diri. Mengawal dan menjaga tekanan diri lebih baik dan membuatkan kita lebih panjang umur. Tiada gunanya berkerja di tempat yang menimbulkan tekanan, huru hara kerana ia membuatkan hidup kita lebih sempit.

Makan Garam Dahulu

Orang lama ataupun mereka yang lebih tua memang ego jika pendapat mereka tidak didengar. Maklum sahajalah, hidup lebih lama berbanding mereka yang hidup kemudian. Kadang kala pndapat mereka yang lebih muda tidak langsung didengar memandangkan yang lebih muda ini baru singkat hidupnya di dunia ini.

Benar orang lama lebih dahulu mencipta pengalaman, ia kemudiannya diolah dan diambil sebagai pengajaran lalu dipermolekkan dan diindahkan oleh orang baru/ generasi baru.

Saya masih ingat sekitar 10 tahun dahulu, internet yang digunakan ialah menggunakan dial up dengan kelajuan hanya sekitar 56Kps. Namun, dengan pembangunan melalui perancangan dan pengalaman, kita sudah boleh menggunakan internet pada kadar kelajuan yang menakjubkan bahkan mencecah 10Gps.

Zaman 10 tahun dahulu, komputer masih lagi menggunakan harddisk yang bersaiz kurang daripada 1GB, namun keadaan sekarang ini tumbdrive ataupun pendrive pun sudah bersaiz 16GB. Harddisk sudah mencecah batasan sehingga 1000GB.

Dulu kita berhubung menggunakan surat, tetapi sekarang menggunakan facebook kerana idea orang baru ataupun orang muda.

Pengalaman orang muda sebenarnya diguna pakai kerana mereka mempunyai idea yang lebih segar dan baru, tidak terikat dengan faktor mustahil ataupun faktor kurangnya pengalaman kerana pengalaman telah pun dicapai oleh mereka yang terdahulu. Orang dari generasi baru hanya perlu mencipta idea yang baru serta memperbagaikan dan mengembangkan idea untuk menjana dan menempuh tahap dan batas yang baru melalui pengalaman orang lama.

Lagipun, Allah memberikan ilmu kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Boleh sahaja orang yang lebih muda mampu memberikan pendapat, usul dan idea yang lebih baik jika diberikan peluang.

Ini adalah antara peribahasa dan ungkapan yang mampu merosakkan motivasi ke arah kejayaan. Memang benar setiap peribahasa cukup indah akan maksudnya, tetapi perlu diingat yang mencipta setiap peribahasa ini juga manusia biasa. Lebih baik kita kembali ke ajaran islam melalui pembacaan Al-Quran dan Hadis kerana ianya memang datang dari sumber yang Tiada Tandingan dan Tidak Kelemahan iaitu Allah swt. Semoga bermanafaat. InsyaAllah.

Blogged with the Flock Browser